Assalammualaikum. Terima kasih kerana melayari wadah penulisan ini. Ianya diwujudkan hanya semata-mata dengan limpah dan rahmatNya sahaja. Perkongsian ilmu dan tegur menegur harus dilakukan demi mencari kekuatan diri dalam memperhambakan hidup ini kejalan yang berbetulan dengan susunan ALLAH swt. Moga kandungan yang ada didalam ini memberi manfaat kepada kita dalam hidup yang serba daif ini.

Insya Allah.

Jumaat, 17 April 2009

Hukum Berfikir

Berfikir untuk mencapai darjat makrifat kepada Allah adalah wajib. Ini dijelaskan oleh Imam Asy’ari (ulama’ tauhid) di dalam kitab “Darus Samin” m/s 17;

“Bahawasanya makrifat itu wajib atas mukallaf (orang yang aqil baligh) kerana segala yang wajib itu tiada tahkik (kuat) melainkan dengan makrifat. Tetapi tiada sampai kepada makrifat melainkan dengan nadzor (نظر ) yakni memerhati serta berfikir.”

Seseorang itu tidak akan sampai makrifat kepada Allah melainkan kepada nadzor. Nadzor itu ialah memandang keagungan dan kehebatan Allah S.W.T. Allah yang telah mencipta dan mentadbir alam ini.

Misalnya; kita tidak akan mengenal kepandaian dan kehebatan seseorang tukang rumah melainkan kita telah melihat rumah yang yang dibinanya. Sebaliknya, kita tidak akan menyatakan seorang itu tukang rumah yang hebat lagi mahir jika dia tidak pernah membina sebuah rumah pun atau rumah yang dibinanya hodoh, lapuk, lagi tiada fungsinya sebagai sebuah rumah.

Oleh itu nadzor adalah wajib. Wajib bagi mereka yang ingin merasai keimanan yang jilah (jitu) kepada Allah S.W.T. Allah yang mempunyai sifat Qudrat, Iradat, Ilmu dan segala sifat-sifat Kamalat (kesempurnaan) tanpa ada tandingannya.

Firman Allah S.W.T.:

“Dan sesungguhnya, Kami jadikan untuk penghuni neraka kebanyakan dari jin dan manusia. Mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakan untuk memahami ayat-ayat Allah. Mereka mempunyai mata, tetapi tidak dipergunakan untuk memperlihat- kan tanda-tanda kebesaran Allah. Mereka itu sebagai binatang ternak. Bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.”
(Al-A’raff: A:179 S:7 J:9 ms:179)


Allah menyatakan bahawa seandainya kita tidak dapat makrifat dengan kejadian alam ini, maka ia seumpama binatang yang tidak ada matlamat hidup untuk menjadi hamba sehamba hambanya pada Allah bahkan ia lebih teruk dari binataag ternakan. Yakni lebih teruk dari anjing dan babi yang mughalazah.

Perintah memikir dan memerhati ini juga telah diterangkan di dalam ayat lain yang bermaksud:

“Katakanlah wahai Muhammad! Perhatikanlah apa yang ada di langit dan di bumi.”
(Yunus: A: 101 S: 10 J: 11 ms: 220)


Ayat di atas adalah sebahagian daripada keterangan Allah S.W.T. memerintahkan supaya kita menggunakan pancaindera bagi memerhati, memikir dan mengimani kehebatan Qudrat, Iradat dan Ilmu Allah S.W.T. Dari situ barulah terpancar sifat Jabar dan Qaharnya Allah S.W.T. Akhirnya dapatlah kita merasakan kehinaan, jahil lagi banyak dosanya kita pada Allah S.W.T. Inilah jalan-jalan untuk kita melihat betapa Latif, Halim Jalal dan Jamalnya Allah S.W.T.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan