Assalammualaikum. Terima kasih kerana melayari wadah penulisan ini. Ianya diwujudkan hanya semata-mata dengan limpah dan rahmatNya sahaja. Perkongsian ilmu dan tegur menegur harus dilakukan demi mencari kekuatan diri dalam memperhambakan hidup ini kejalan yang berbetulan dengan susunan ALLAH swt. Moga kandungan yang ada didalam ini memberi manfaat kepada kita dalam hidup yang serba daif ini.

Insya Allah.

Jumaat, 17 April 2009

RASULULLAH s.a.w ikutan umat akhir zaman

Firman ALLAH S.W.T.:

“Hai orang yang beriman! Ikutlah akan perintah ALLAH dan ikutlah oleh kamu akan perintah Rasul dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalilah kepada ALLAH S.W.T. (Al-Qur’an) dan Rasul (Sunnah), jika kamu benar-benar beriman kepada ALLAH dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama bagi kamu dan lebih baik akibatnya.”
(An-Nisa’: A:59 S: 4 J: 5)

Dalam ayat ini ALLAH S.W.T. menegaskan supaya kita taat kepada ALLAH dan Rasul-NYA. Taat dengan erti kata bahawa kita melaksanakan apa juga yang ditunjuk ajar oleh Nabi s.a.w. dari sekecil-kecil amalan (keluar masuk tandas, akhlak) sehinggalah kepada ekonomi, nikah kawin, hukum jenayah dan hukum pemerintahan dan pentadbiran negara.

Rasulullah s.a.w. menjadi insan kamil kerana baginda ditarbiyah oleh ALLAH S.W.T. Tentulah tarbiyah ALLAH S.W.T. ini amat berkesan. Ianya bukanlah bermula ketika baginda berumur empat puluh tahun (semasa menjadi Nabi dan Rasul) malah telah bermula sejak kelahiran baginda lagi, sebagaimana maksud hadis baginda:

“Tuhanku telah mendidik aku dengan sebaik-baik didikan….”

Hukum Berfikir

Berfikir untuk mencapai darjat makrifat kepada Allah adalah wajib. Ini dijelaskan oleh Imam Asy’ari (ulama’ tauhid) di dalam kitab “Darus Samin” m/s 17;

“Bahawasanya makrifat itu wajib atas mukallaf (orang yang aqil baligh) kerana segala yang wajib itu tiada tahkik (kuat) melainkan dengan makrifat. Tetapi tiada sampai kepada makrifat melainkan dengan nadzor (نظر ) yakni memerhati serta berfikir.”

Seseorang itu tidak akan sampai makrifat kepada Allah melainkan kepada nadzor. Nadzor itu ialah memandang keagungan dan kehebatan Allah S.W.T. Allah yang telah mencipta dan mentadbir alam ini.

Misalnya; kita tidak akan mengenal kepandaian dan kehebatan seseorang tukang rumah melainkan kita telah melihat rumah yang yang dibinanya. Sebaliknya, kita tidak akan menyatakan seorang itu tukang rumah yang hebat lagi mahir jika dia tidak pernah membina sebuah rumah pun atau rumah yang dibinanya hodoh, lapuk, lagi tiada fungsinya sebagai sebuah rumah.

Oleh itu nadzor adalah wajib. Wajib bagi mereka yang ingin merasai keimanan yang jilah (jitu) kepada Allah S.W.T. Allah yang mempunyai sifat Qudrat, Iradat, Ilmu dan segala sifat-sifat Kamalat (kesempurnaan) tanpa ada tandingannya.

Firman Allah S.W.T.:

“Dan sesungguhnya, Kami jadikan untuk penghuni neraka kebanyakan dari jin dan manusia. Mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakan untuk memahami ayat-ayat Allah. Mereka mempunyai mata, tetapi tidak dipergunakan untuk memperlihat- kan tanda-tanda kebesaran Allah. Mereka itu sebagai binatang ternak. Bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.”
(Al-A’raff: A:179 S:7 J:9 ms:179)


Allah menyatakan bahawa seandainya kita tidak dapat makrifat dengan kejadian alam ini, maka ia seumpama binatang yang tidak ada matlamat hidup untuk menjadi hamba sehamba hambanya pada Allah bahkan ia lebih teruk dari binataag ternakan. Yakni lebih teruk dari anjing dan babi yang mughalazah.

Perintah memikir dan memerhati ini juga telah diterangkan di dalam ayat lain yang bermaksud:

“Katakanlah wahai Muhammad! Perhatikanlah apa yang ada di langit dan di bumi.”
(Yunus: A: 101 S: 10 J: 11 ms: 220)


Ayat di atas adalah sebahagian daripada keterangan Allah S.W.T. memerintahkan supaya kita menggunakan pancaindera bagi memerhati, memikir dan mengimani kehebatan Qudrat, Iradat dan Ilmu Allah S.W.T. Dari situ barulah terpancar sifat Jabar dan Qaharnya Allah S.W.T. Akhirnya dapatlah kita merasakan kehinaan, jahil lagi banyak dosanya kita pada Allah S.W.T. Inilah jalan-jalan untuk kita melihat betapa Latif, Halim Jalal dan Jamalnya Allah S.W.T.

Isnin, 13 April 2009

Syarat memilih IMAM

*Rujukan Kitab Sirus Salikin

ORANG YANG DISUKAI OLEH MAKMUM
Jika ada perselisihan orang ramai hendak memilih imam, maka hendaklah:-

Jika yang suka sedikit tetapi mereka adalah dari kalangan orang yang soleh dan orang yang beramal dengan
ajaran Islam (wara’), maka hendaklah diikut pilihan yang sedikit itu.

Jika tiada pilihan dari kalangan orang yang soleh, maka hendaklah memilih dari pilihan orang ramai.


MAHIR ILMU FEQAH
Makruh makmum yang mahir ilmu feqahnya mengikut imam yang tidak tahu ilmu feqah.

Makruh makmum yang betul bacaannya mengikut imam yang kurang bacaannya, melainkan orang yang mahir itu enggan menjadi imam maka haruslah orang yang tidak mahir itu menjadi imam.


MEMELIHARA SOLAT DI AWAL WAKTU
Imam jangan mentakhirkan solat kerana menanti orang ramai. Jemaah yang sedikit di awal waktu adalah afdhal dari jemaah yang ramai bilangannya di akhir waktu.

Muazin iqamah apabila mendapat izin dari imamnya.


IKHLAS KERANA ALLAH
Menjadi imam adalah amanah ALLAH. Oleh itu imam hendaklah menjaga taharah, syarat solat, rukun dan solat di awal waktu.
Jangan menjadi imam jika suka mentakhirkan waktu solat.


SUCI BATIN
Imam hendaklah menjauhkan diri dari maksiat kecil atau maksiat besar.

Jangan mengekalkan dosa kecil dan perkara yang makruh.
Jangan merokok. Majlis fatwa telah berfatwa bahawa merokok itu adalah haram. Oleh itu barang siapa merokok bermakna dia telah melakukan dosa. Orang yang mengekalkan dosa adalah fasik. Orang fasik tidak layak menjadi imam dan saksi.

SUCI ZAHIR
Mensucikan najis dari hadas dan najis kerana hanya dia sahaja yang mengetahui hal keadaannya.

Jika imam teringat ketika dia sedang besolat bahawa dia dalam keadaan berhadas, jangan malu berhenti dari solatnya. Hendaklah orang yang duduk di belakang imam tersebut mengantikan tempat imam itu.

Kata Imam Ghazali: “Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. terlambat solat sewaktu bermusafir kerana bersuci, lalu Saiyidina Abdul Rahman bin. Auf r.a. menjadi imam. Rasulullah s.a.w tertinggal satu rakaat. Rasulullah s.a.w. terus berdiri bagi menyempurnakan solat.”